BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Khamis, 21 April 2011

Berbahagialah Sang Ghuraba'





1. Perjuangan Islam bermula dalam keadaan asing atau dagang [gharib]. Berdepan dengan manusia jahiliah yang rendah upaya untuk membezakan antara haq dan bathil. Sistem nilai yang kabur diselaputi fahaman syirik dan kebendaan. Mereka merajakan nafsu dan mempertuhankan aqal. Rasuulul ummah saw. sebagai utusan Allah swt. difitnah, dinista dan dicerca. Risalahnya ditertawa dan menjadi bahan lelucon ummat jahiliah.

2. Islam dibawa untuk menyelamatkan ummah. Risalahnya disasarkan kepada semua kecuali mereka yang tekun dan konsisten memerangi Islam. Slogan yang dibawa oleh Pendakwah Agong saw. ialah [Aslim Taslam] Terima Islam Engkau Selamat. Serendah - serendah pangkat manusia seperti lelaki gasar di padang pasir sehinggalah setinggi - tinggi pangkat manusia seperti raja di istana menjadi sasaran risalah Islam.

3. Islam didokong dan diperjuangkan dengan gigih tanpa peduli pahit getir. Islam digalas dan dipertahankan dengan tabah tanpa peduli susah sukar. Gurun sahara diredah dan lautan luas diharungi demi menyemarakan kebangkitan Islam dan mendaulatkan syariatnya. Sabar membelah masa dan merempuh waktu menanti detik janji Allah ditunaikan. Tidak mengenal erti putus asa dan kecewa.

4. Akhirnya Islam tegak berdaulat dengan bertiangkan aqidah, berdindingkan syariat, berbumbungkan jihad dan berlantaikan akhlak. Bumi diimarahkan dengan peraturan dan manhaj rabbani. Keadilan merata kepada semua tanpa membezakan latar belakang agama, bangsa, kaum dan bahasa lidah. Keamanan dan kesejahteraan dinikmati, bukan sahaja oleh manusia bahkan binatang dan tumbuhan.

5. Namun Nabi saw telah menegaskan : 

بَدَءَ الإسلام غريبا فسيعود غريبا كما بدء فطوبى للغرباء

Telah bermula Islam dalam keadaan asing , kelak ia akan kembali menjadi asing sebagaimana ia bermula. Maka berbahagialah mereka yang asing [tetap bersama Islam].

6. Hari ini Islam kembali ditertawa. Syariat dan syiar Islam dipersenda. Kerja dakwah menjadi bahan lelucon. Dunia kembali menganggap pelik cara kita berjuang dan mengajak ummat manusia kembali kepada Islam dan perjuangannya. Menyeru dan mengajak orang menyertai perjuangan Islam dianggap kerja bodoh sebagaimana tanggapan ummat jahiliah. Firman Allah swt :

  و إذا قيل لهم ءامنوا كما ءامن الناس قالوا أنؤمن كما ءامن السفهاء ألا إنهم هم السفهاء ولكن لا يعلمون

dan apabila diseru kepada mereka , Berimanlah sebagaimana berimannya manusia yang lain. Mereka menjawab : Apakah kami akan beriman sebagaimana berimannya orang - orang yang bodoh. Ketahuilah sesungguhnya merekalah orang - orang yang bodoh akan tetapi mereka tidak mengerti.

Surah al Baqarah : Ayat 13

7. Sungguhpun Islam kembali menjadi asing dan pejuangnya ditertawa dan diperbodohkan, ianya adalah sunnah yang telah dijanjikan kebahagiaannya oleh Rasulullah saw kepada mereka yang tetap gigih berjuang, berjihad dan berdakwah. Biarpun Nabi saw telah sekian lama meninggalkan ummah, namun kesediaan para pejuang menggalas tugas besar untuk menyelamatkan manusia dari neraka Allah adalah tugas berat yang penuh dengan kemuliaan. Istiqamah dan  iltizam bersama kerja - kerja amal Islami biarpun disinis dan disindir tajam, ia adalah ghuraba' yang dijanjikan kebahagiaan oleh Rasulullah saw.


Biarpun seribu manusia sedang mentertawakan gerakkerja Amal Islami yang dilakukan oleh saudara, lalu menganggap dakwah saudara sebagai suatu lelucon dan kebodohan politik, yakin lah saudara sedang menjadi manusia dagang dan asing dengan Islam yang diperjuangkan. Sedang Rasulullah saw pernah menegaskan : Berbahagialah Sang Ghuraba'
 
dipetik dari:
Nasruddin Hassan Tantawi

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan

0 ulasan: